Buang ibu di Aidilfitri
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.
Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.
Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.
Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.
Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.
Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.
Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.
“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.
“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.
Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.
“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.
“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.
“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,” katanya.
Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.
Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.
“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.
“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,” katanya.
Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.
Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.
Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.
“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.
TERGAMAK BETUL SI ANAK BUAT BEGITU PADA IBUNYA....
Pemimpin Adalah Cermin Rakyat!
-
Pemimpin Adalah Cermin Rakyat! Manshur bin Abi Al-Aswad berkata, “Aku
bertanya kepada Al-A’masy (salah seorang tokoh tabi’in) tentang firman
Allah Ta’ala: ...
6 years ago
0 comments:
Post a Comment