06 April 2009

HALANGAN DALAM MENCARI KEBAHAGIAAN DAN IMAN....

KEBAHAGIAAN adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan bukan objek yang boleh ditunjuk dan dipegang.Dengan kata lain,kebahagiaan itu adalah perkara yang abstrak dan perkara yang berkaitan dengan jiwa dan hati nurani seseorang.Faktor- faktor luaran seperti kemewahan,taraf yang tinggi dalam masyarakat serta kejayaan dalam mengharungi hidup bukanlah penyebab utama kepada kebahagiaan. Sebab itu selalu kita berdepan dengan cerita bahawa orang kaya ternama cuba membunuh diri dan terpaksa diberi kaunseling oleh pakar psikologi.Sebalikny a orang miskin yang hidup dengan rezeki yang sesuap pagi sesuap petang,dapat hidup ceria bersama keluarga masing-masing tanpa mengira masalah yang melingkari mereka.Lalu apakah kebahagiaan itu sebenarnya ? . Kebahagiaan sebenar ialah satu perasaan yang dirasai dalam diri dan hati seseorang seperti rasa tenang,rasa lapang dan rasa selesa.Bila hati telah merasai perasaan ini ditambah dengan kesihatan yang baik dan kehidupan yang aman,maka wujudlah rasa bahagia dan damai.





Untuk itu,bermacam cara dilakukan untuk menuju ke arah kebahagiaan, dan dalam banyak-banyak cara itu,cahaya keimanan dan ketaqwaanlah satu cara mencari kebahagiaan yang paling berkesan.Dengan beriman kepada Allah dan RasulNya dan mengikut semua suruhan dan ajaranNya,manusia akan mendapat nikmat ketenangan jiwa dan kebahagiaan rohani yang berkekalan.Ramai alim ulama’ yang berpendapat bahawa berada di atas jalan iman dan taqwa adalah puncak kebahagiaan. Bila seseorang sudah beriman,ia akan redha dengan apa saja yang ditakdirkan oleh Allah kepadanya tanpa mengeluh,tanpa kesal atau tanpa rasa sedih.Mereka tidak mementingkan diri sendiri,sebaliknya lebih mementingkan apa yang Allah mahukan.Oleh itu mereka akan hidup dalam kelazatan nikmat Allah dan kesejahteraan jiwa. Segala apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Namun sudah tentu setiap yang baik itu mempunyai halangan-halanganny a.Tidak mudah bagi seseorang insan untuk hidup bahagia tanpa melalui kepahitan .Kalau jalan menuju kebahagiaan itu lurus saja,tentu Allah tidak menjadikan dosa dan pahala yang berbalas dengan syurga dan neraka.Semua halangan itu terpaksa dilalui dengan ketabahan dan kesabaran yang tinggi .Halangan-halangan menuju bahagia : -



1) HALANGAN DUNIAWI



- Iaitu segala perbuatan dan ilmu yang memberatkan perkara-perkara yang berkait rapat dengan kesejahteraan dunia tanpa memberatkan hal-hal akhirat.Dunia memang diciptakan Allah dengan segala macam keindahan dan keasyikan hingga kadang-kadang ia mengheret manusia dari memikirkan kerosakan dan kemusnahan serta hari akhirat yang telah dijanjikan. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin : -

“ Dunia ini adalah seperti seorang wanita yang manis.Ia menarik hati manusia dengan kecantikannya. Ia mempunyai rahsia-rahsia yang buruk dan keji.Ia membinasakan orang-orang yang berhubung dengannya .”

Apa yang hendak disampaikan ialah kerana keasyikan mengejar duniawi,manusia terlupa untuk beriman.Lantaran itu manusia hidup dalam kesesatan dan jalan ke arah ketaqwaan semakin jauh.Mereka mengejar kemewahan hingga menjadi sombong,angkuh dan mengamalkan sifat-sifat yang tercela ( Mazmummah ) . Nabi Isa A.S pernah bersabda : -

“ Dunia itu hanya tiga hari iaitu hari kelmarin yang telah lewat dan sudah tidak ada lagi di tangannya satu kesempatan,Hari Esok di mana kamu tidak dapat mengetahuinya dan hari ini di mana kamu berada,maka pergunakanlah dengan sebaik-baiknya ” .



2) HALANGAN SESAMA MAKHLUK



- Makhluk yang lain selain dari makhluk manusia mungkin kurang menghalang sesebuah kebahagiaan. Namun makhluk manusia telah dijadikan Allah dengan berbagai karenah dan perangai.Ketika seseorang cuba beriman dan kembali ke jalan Allah,ia mungkin berdepan dengan karenah dan sikap negative orang-orang yang terdekat dengannya seperti sanak saudara dan sahabat handainya.Langkah yang paling bijak ialah dengan memilih sahabat yang baik dan beriman .Rasullullah S.AW. pernah bersabda : -

“ Seseorang itu mengikuti agama sahabatnya,maka salah seorang di antara kamu harus memikirkan siapakah yang akan dijadikan sahabat ”





3) HALANGAN DARI BALA TENTERA SYAITAN



- Syaitan memang sering menanti masa yang sesuai untuk memalingkan keimanan manusia.Jika sedetik manusia itu lalai,syaitan akan bertepuk tangan dan terus menggodanya. Ia akan berusaha menyesatkan manusia dari jalan yang benar kepada jalan yang bathil .Kemudian terus memerangkap manusai supaya terus terjerumus dalam kemaksiatan dan permusuhan yang berpanjangan. Ketika manusia cuba melakukan kebajikan kepada Allah,syaitan cuba menghalangnya dengan bermacam dalih dan alasan.Kadang- kadang ia menghasut dengan rasa was-was dan tidak yakin terhadap sesuatu perkara atau ilmu Allah yang sedia ada.Akhirnya manusia akan terus menerus lalai dan leka.



4) HALANGAN DARI NAFSU JAHAT



- Nafsu jahat lahir dari pergerakan dan dorongan syaitan.Ia sering bertarung sengit dengan nafsu baik dan sudah tentu syaitan adalah pengadu-dombanya. Jika iman seseorang lemah,maka nafsu jahat akan menang.Lalu ia akan menghalang apa saja langkah untuk beriman dan mengingati Allah sejajar dengan kehendak syaitan.Lalu selama-lamanya manusia itu berada dalam landasan yang sesat dan dia tidak akan menemui kebahagiaan baik di dunia ataupun di akhirat.Saban waktu ia terjebak dengan kekufuran.Makan dalam kufur,tidur dalam kufur dan saat matinya pun dia berada dalam keadaan kufur .



5) HALANGAN DARI KEADAAN SEKELILING



- Manusia selalu cenderung untuk menurut dan mengikut suasana di sekelilingnya. Bagi yang belum teguh pegangan imannya,ia akan mengikut membabi buta apa saja yang berlaku di sekitarnya.Kemudian bila ia mula terasa bahawa ia berada di jalan yang salah,ia sudah tidak mampu untuk berpaling arah kerana keadaan sekelilingnya tidak mengizinkan. Contohnya jika seseorang yang berada dalam kelompok orang munafik yang tidak beriman kepada Allah,lalu ia juga ikut menjadi munafik dan kufur.Pada satu ketika ia terfikir untuk kembali ke jalan Allah.Namun saat itu ia terhalang oleh rasa segan,malu dan takut dipulaukan oleh masyarakat yang ada di dalam kelompoknya itu .

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates